Paramount sasar jualan RM1 bilion

KUALA LUMPUR (Mac 7, 2019): Pemaju hartanah, Paramount Corp Bhd, menyasar untuk mengekalkan jualan RM1 bilion tahun ini meskipun sentimen pasaran hartanah suram.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew berkata berdasarkan peningkatan jualan sebanyak 23 peratuskepada RM1 bilion pada 2018 daripada RM815 juta pada 2017, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai dengan dipacu beberapa pelancaran baharu tahun ini.

Beliau berkata jualan belum dibilkan Paramount berjumlah RM995 juta setakat akhir 2018.

“Kami merancang untuk melancarkan fasa baharu bagi projek sedia ada 2019 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 bilion.

“Ia merangkumi pengembangan ke Klang, Selangor dengan projek pembangunan hartanah-pendidikan bersepadu seluas 13.48 hektar di Jalan Goh Hock Huat.

“Selain itu, kami mempunyai pembangunan komersial Atwater di Seksyen 13, Petaling Jaya, yang akan dilancarkan bagi melengkapi unit kediaman berkenaan yang mencatatkan kadar pembelian 84 peratus tahun lalu,” katanya kepada pemberita semasa taklimat prestasi kewangan 2018 syarikat itu di sini, hari ini.

Chew berkata syarikat juga akan melancarkan fasa ketiga pangsapuri berperkhidmatan Utropolis di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Dalam pada itu, Paramount akan menambah semula jumlah simpanan tanah menerusi 16.75 hektar kawasan di Cyberjaya, Selangor dan berusaha ke arah pelancaran fasa pertama pembangunan kediaman itu pada suku ketiga 2019,” katanya.

Mengenai segmen ruang kerja bersama, beliau berkata syarikat merancang untuk membuka tiga lagi ruang kerja bersama pada 2019 yang terletak di Menara Naza (pusat bandar raya Kuala Lumpur), Sekitar 26 (Shah Alam) serta perluasan ruang Starling Mall.

“Termasuk pelancaran tahun ini, setakat ini, Paramount mempunyai empat ruang kerja bersama yang boleh menempatkan 1,200 orang dan kami menjangka dapat merekodkan perolehan kira-kira RM4 bilion bagi segmen ini menjelang akhir tahun,” katanya.

Keuntungan bersih Paramount bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 susut 29 peratus kepada RM94.92 juta daripada RM133.64 juta pada 2017 manakala perolehan meningkat 19 peratus kepada RM210.53 juta daripada RM187.83 juta.

-BERNAMA